Rabu, 11 Januari 2017

Tafsir Dan Isi Dari Surat Yasin Ayat 79-83

Image result for gambar baca alquran


Ayat 79:

قُل يُحييهَا الَّذي أَنشَأَها أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلقٍ عَليمٌ

Sahih International
Say, “He will give them life who produced them the first time; and He is, of all creation, Knowing.”
Malay
Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);


قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِي أَنْشَأَهَا أَوَّلَ مَرَّةٍ

Katakanlah: yang akan menghidupkan tulang-tulang itu ialah Tuhan yang telah menciptakannya pertama kali dahulu
Allah menggunakan perkataan أَنْشَأَ – iaitu bukan hanya menghidupkan tapi membesarkannya. Tulang yang mereka pegang itu asalnya bukan sebesar itu. Kecil sahaja. Tapi Allah menghidupkan manusia kemudian membesarkan mereka sesuai dengan tumbesaran tulang-tulang itu.
Kalau Allah boleh mengadakan tulang itu daripada tiada kepada ada, tentulah lebih mudah lagi kepada Allah untuk menghidupkannya semula.

وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ

Dan Dia terhadap segala penciptaanNya itu, Maha Mengetahui;
Dialah yang mengetahui kejadian kita dan apa yang kita perlukan dan segala-galanya tentang kita. Tentulah Dia tahu, sebab Dialah yang menjadikan kita dan makhluk-makhluk yang lain. Allah Maha Mengetahui tulang-tulang di seluruh pelosok dan sudut bumi, ke mana hilangnya dan di mana hancur luluhnya.
Kalau satu kilang sudah mengeluarkan satu kereta sebagai contohnya. Kilang itu tidak tahu pun ke mana kereta itu akan pergi. Tapi apabila Allah telah menciptakan makhlukNya, Dia tahu ke mana makhluk itu pergi, apa makhluk itu buat. Segala-galanya Allah tahu. Dari mula lahir, sampai mati, sampai dihidupkan kembali.
Maka, siapakah kamu wahai orang-orang kafir untuk mempersoalkan tentang apa yang Allah telah jadikan?


Ayat 80:

الَّذي جَعَلَ لَكُم مِنَ الشَّجَرِ الأَخضَرِ نارًا فَإِذا أَنتُم مِنهُ توقِدونَ

 
Sahih International
[It is] He who made for you from the green tree, fire, and then from it you ignite.
Malay
“Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu”.

الَّذِي جَعَلَ لَكُمْ مِنَ الشَّجَرِ الْأَخْضَرِ نَارًا

Dialah juga yang menjadikan untuk kamu, pokok-pokok yang hijau yang boleh mengeluarkan api;
Apabila dijemurkan pokok itu, dan setelah jadi kering, kita boleh nyalakan. Asalnya pokok itu telah hidup dari air, hingga menjadi hijau indah, berbuah dan berbunga, kemudian Allah menjadikannya kayu-kayu kering untuk menyalakan api.
Atau Allah hendak menarik perhatian kita kepada dua jenis pokok kayu yang apabila digesek bersama, akan mengeluarkan api. Iaitu pokok markh dan ‘afaar. Mereka tidak dapat menerima kehidupan akan datang daripada yang telah mati. Tapi bagaimana dengan pokok-pokok itu yang telah mati, tapi masih lagi boleh mengeluarkan api?
Lihatlah bagaimana Allah telah memberikan kemudahan-kemudahan dalam dunia ini kepada kita. Siapakah yang mengajar kita bahawa dua pokok itu dapat mengeluarkan api? Tentulah Allah. Allah bukan sahaja mengajar manusia tentang ilmu syariat, tapi Allah juga memberi ilham kepada kita untuk menjalani kehidupan dalam alam ini. Allah telah mengingatkan kita tentang perkara ini dalam ayat 56:71 dan 72.

فَإِذَا أَنْتُمْ مِنْهُ تُوقِدُونَ

Maka kamu darinya boleh nyalakan api
Pokok adalah satu kehidupan yang menghijau. Ia memberi isyarat kepada kehidupan. Tapi dalam masa yang sama juga, ia juga boleh mengeluarkan api – isyarat kepada kematian. Kehidupan dan kematian ada dua perkara yang berdekatan sahaja. Hendaklah kita sentiasa mengingat kepada mati.


Ayat 81: Satu lagi dalil untuk manusia untuk mengatakan Allah berkuasa untuk menghidupkan kembali manusia selepas matinya. 

أَوَلَيسَ الَّذي خَلَقَ السَّماواتِ وَالأَرضَ بِقادِرٍ عَلىٰ أَن يَخلُقَ مِثلَهُم ۚ بَلىٰ وَهُوَ الخَلّاقُ العَليمُ

Sahih International
Is not He who created the heavens and the earth able to create the likes of them? Yes, [it is so]; and He is the Knowing Creator.
Malay
Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) – berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.


أَوَلَيْسَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ

Bukankah Dia Dzat yang menciptakan tujuh langit dan tujuh bumi
Kalau alam yang begini besar pun Allah boleh cipta, tentulah Allah berkemampuan untuk menghidupkan kembali manusia.

 بِقَادِرٍ

dengan kuasaNya

عَلَىٰ أَنْ يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ

boleh menciptakan seperti mereka? 
Sebagaimana Dia menciptakan manusia pertama kali dahulu? Tentulah Dia berkebolehan menghidupkan kembali manusia.

 بَلَىٰ وَهُوَ الْخَلَّاقُ الْعَلِيمُ

Bahkan benar, dan Dialah yang Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui
Bukan sahaja Allah mampu untuk mengumpulkan kembali tulang belulang mereka dan menghidupkan kembali mereka, tapi yang lagi susah dari itu pun Allah mampu. Allah mampu mengembalikan balik cap jari mereka. Setiap manusia dari mula kehidupan sampai kiamat nanti, mempunyai cap jari yang berbeza. Tapi Allah mampu mengembalikannya balik.
Allah adalah الْخَلَّاقُ – Maha Pencipta. Dia telah mencipta dari dulu sampai sekarang. Samada benda yang kita tahu dan benda yang tidak tercapai oleh daya imaginasi kita.
Bukan itu sahaja, Allah juga menyebutkan sifatNya الْعَلِيمُ – Maha Mengetahui. Selepas Dia cipta kita, Dia tahu apa yang kita perlukan. Maka Dia telah memberikan apa-apa sahaja keperluan kita untuk hidup di dunia ini.


Ayat 82: Ini adalah salah satu cara penciptaan yang Allah gunakan.

إِنَّما أَمرُهُ إِذا أَرادَ شَيئًا أَن يَقولَ لَهُ كُن فَيَكونُ

 
Sahih International
His command is only when He intends a thing that He says to it, “Be,” and it is.
Malay
Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.


إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا

Sesungguhnya apabila Allah sudah buat keputusan berkehendak sesuatu
Allah juga ada kehendak (iradah)

 أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ

hanya Dia perlu kata kepada benda yang Dia hendak cipta itu: Jadi!
Kalau begini mudahnya Allah hendak menjadikan sesuatu apa pun, tentulah mudah sahaja bagi Allah hendak menghidupkan semula manusia.

فَيَكُونُ

Maka jadilah. 
Ini bermakna, Allah hanya Dia memerintahkan sesuatu hanya dengan satu perintah, tidak perlu kepada pengulangan dan bantuan dari apa-apa pun. Juga tidak memerlukan satu proses kejadian yang susah. Senang sahaja Allah kalau hendak jadikan sesuatu, Dia hanya berkehendak sahaja.
Tapi, kena ada penjelasan sedikit tentang ayat ini. Kalau silap tafsir ayat ini, akan jadi salah faham. Apabila Dia hendak sesuatu, adakah perlu Dia berkata ‘kun’, baru terjadi benda itu? Sebenarnya, apabila Dia berkehendak/ingin sahaja, terus jadi. Tidak perlu Dia kata ‘kun’. Maknanya, tujuan ayat ini hendak memberitahu mudahnya Allah nak jadikan sesuatu. Bukanlah kalau Allah nak jadikan janin manusia, Dia kena kata ‘kun’, besar sikit, kena kata ‘kun’ dan seterusnya; tidak perlu.Kejadian itu boleh jadi dalam bentuk serta merta atau mengambil masa. Seperti Allah jadikan malaikat, dengan serta merta, tidak perlu ibu bapa. Tapi dalam penciptaan manusia, sembilan bulan baru beranak. Tidak sempurna lagi seseorang manusia masa itu. Itu baru lahir sahaja. Lepas itu baru boleh meniarap, berjalan dan sebagainya. Maknanya, itu adalah jenis penciptaan yang mengambil masa. Kerana Allah hendak menunjukkan kekuasaanNya. Kalau Dia nak jadikan manusia serta-merta pun boleh. Seperti Allah jadikan malaikat.
Malaikat itu dijadikan secara terus oleh Allah. Tidak memerlukan ibubapa untuk melahirkan mereka. Malaikat itu tidak pernah berkhidmat kepada manusia. Maka salahlah kalau ada yang kata mereka boleh meminta tolong kepada malaikat. Salah kalau ada yang kata boleh gunakan malaikat nak tahan hujan atau apa-apa sahaja. Salahlah kalau ada manusia yang kata ada malaikat yang berdamping dengan dia selain Raqib dan Atid.


Ayat 83: Allah simpulkan semua sekali dalam ayat ini. 

فَسُبحانَ الَّذي بِيَدِهِ مَلَكوتُ كُلِّ شَيءٍ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International
So exalted is He in whose hand is the realm of all things, and to Him you will be returned.
Malay
Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.


فَسُبْحَانَ الَّذِي بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ

Maha Suci Tuhan, Dzat yang di TanganNya sahaja kekuasaan segala sesuatu; 
Allah itu suci dan bebas dari segala sifat kekurangan dan keburukan. Dan hanya kepadaNya kembali segala urusan. Hanya hakNya menciptakan dan memerintah alam ini.
Kesimpulan dari surah Yaasin ini, kita hendaklah bertasbih dan memuji Allah diatas segala kehebatanNya dan kemurahanNya kepada kita.
Segala kerajaan adalah بِيَدِهِ (dalam tanganNya). Penggunaan perkataan بِيَدِهِ menunjukkan Dia berkuasa penuh.
Apakah yang Allah kuasai? Ianya adalah مَلَكُوتُ – ianya adalah satu perkataan yang lebih besar dari hanya مَلَكُ – kerajaan. Kalau kerajaan di dunia, manusia boleh lagi rampas dari seorang raja atau presiden itu. Tapi kalau مَلَكُوتُ Allah, tidak ada sesiapa yang boleh buat apa-apa.
Perkataan مَلَكُوتُ juga bermakna penguasaan Allah itu bukan hanya penguasaan fizikal sahaja. Sebagai contoh, seorang tuan boleh menguasai hambanya; dia boleh suruh hamba itu buat kerja dan sebagainya. Tapi dia tidak dapat mengawal perasaan hamba itu. Dia tidak boleh arahkan hamba itu untuk suka atau duka. Tapi penguasaan Allah lain – penguasaan Allah adalah menyeluruh. Dia boleh memberi kita kesihatan dan sakit. Tidak tercapai dalam pemikiran kita setakat mana penguasaan Allah taala atas kita.
Kita suka kalau dapat berkawan dengan orang yang berkuasa. Maka, siapakah yang lebih berkuasa dari Allah taala? Tidak ada. Orang-orang yang beriman dahulu seperti para sahabat merapatkan diri mereka dengan Allah. Mereka dapat rasa bagaimana Allah sentiasa memerhatikan mereka. Mereka tahu bahawa segalanya ditentukan oleh Allah. Kerana itulah mereka tidak takut apa-apa. Kalau ada masalah apa-apa, mereka akan terus melakukan solat. Mereka rasa cukup dengan ada Allah sahaja. Ada sahabat yang mengatakan: رضيت بالله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد صلى الله عليه وسلم رسولا ونبيا. Aku redha Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Nabi Muhammad sebagai Rasul dan Nabiku.

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Kamu semua akan kembali kepadaNya;
Samada kamu taat kepadaNya atau tidak, kepada Dia juga kamu akan kembali. Apabila kembali kepadaNya, Dia akan membalas makhluk sesuai dengan amalan dan iman mereka.
Inilah yang amat penting untuk kita ingat. Kita semua akan kembali kepadaNya. Samada hari ini atau esok. Ianya pasti akan terjadi. Tidak ada orang yang tidak mati. Semuanya akan mati nanti akhirnya. Dan akan dihidupkan kembali untuk menerima balasan daripadaNya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar